Dalam mana-mana sistem pendidikan pun, elemen peperiksaan dan penilaian seperti UPSR dan PT3 merupakan kaedah terbaik dalam usaha menentukan tahap keberkesanan pembelajaran.dan penilaian merupakan kaedah terbaik dalam usaha menentukan tahap keberkesanan pembelajaran.
Wujudnya peperiksaan bukanlah untuk menjadikan murid bak ‘tikus makmal’ kerana tanpa peperiksaan seakan kita membiarkan murid tanpa hala tuju dan misi hidup yang jelas.
Kementerian Pendidikan memuktamadkan untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021, sementara Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2021 pula dibatalkan.
Tempias akibat ketiadaan peperiksaan semakin ketara. Misalnya, sikap bersungguh untuk menekuni kandungan pembelajaran di sekolah mulai pudar kerana murid bertanggapan belajar di sekolah sekadar belajar tanpa tercabar dengan sebarang penilaian.
Tempiasnya juga jelas dapat kita kesankan apabila sikap ambil mudah kewajipan hadir ke sekolah tidak diberikan penekanan.
Mujur juga anak-anak kita masih perlu menduduki Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang menguji tentang keupayaan pembelajaran agama Islam. UPKK merupakan peperiksaan bersijil yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Peperiksaan ini dijalankan ke atas semua pelajar darjah 5 di sekolah Kafa seluruh negara.
Sekurang-kurangnya ini telah menggantikan semangat UPSR, malah daripada pemerhatian secara peribadi peperiksaan UPKK banyak menghidup fenomena bersaing dalam pembelajaran di sekolah.
Kita setakat ini belum terdengar lagi ungkapan kata bahawa peperiksaan UPKK itu satu bebanan dan menyebabkan murid menjadi ‘tikus makmal’.
Ini kerana persaingan untuk cemerlang dalam peperiksaan seharusnya dilihat dari sudut pandang yang positif.
Namun, jalan terbaik ialah murid di sekolah diberikan penilaian dalam dua segi.
Satu menerusi peperiksaan awam seperti UPSR/PT3 dan satu lagi dinilai dengan kaedah pentaksiran berdasarkan sekolah.
Dengan cara sebegini pada pandangan saya, fokus seseorang murid tidaklah hanya tertumpu terhadap pelajaran untuk lulus peperiksaan semata-mata, sebaliknya mereka juga perlu memperagakan diri dengan sikap sebagai murid yang berketerampilan unggul, sikap berkomunikasi cantik, dan elok adab dan akhlak.
Golongan ilmuwan pendidikan, ibu bapa dan mereka yang berkaitan dengan isu pendidikan perlu diajak duduk semeja mencari titik harmoni dan bukannya diberikan kenyataan yang ‘bernoktah’.
Ini kerana anak-anak kita masa ini adalah pewaris negara untuk masa hadapan.
Mohd Rizal Azman Rifin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah