KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran meneliti isu bangunan terbiar di negeri ini.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan dalam mencipta peluang ekonomi yang ada di dalam bandar bagi meningkatkan pembangunan setempat.
“Beta turut berharap kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan sebagai pemangkin sektor perindustrian dan merancakkan pertumbuhan ekonomi yang diterapkan dengan konsep bandar pintar.
“Konsep itu supaya negeri beta tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global. Beta melihat negeri ini masih mempunyai daya tarikan pelaburan yang rendah, terutama pelaburan asing berbanding negeri-negeri Pantai Barat.
“Negeri-negeri Pantai Barat mempunyai jaringan pelabuhan serta kemudahan perdagangan yang lebih komprehensif,” titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sultan Muhammad V menyeru pembangunan infrastruktur yang berkaitan dipercepat selain menyediakan insentif pengecualian cukai secara kompetetif bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.
“Sebagai contoh pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan memberi fungsi baharu kepada dua kawasan iaitu ‘Cargo-Oriented Development’ di Jajahan Pasir puteh dan ‘Transit-Oriented Development’ di Tunjong, Kota Bharu.
“Selain memperkukuh sistem pengangkutan, projek ini juga secara tidak langsung memberikan kesan gandaan ekonomi kepada rakyat beta,” titah baginda. – UTUSAN