KOTA BHARU: Penyalahgunaan telefon pintar menjadi antara punca dan penyumbang utama kepada masalah gejala sosial yang mendorong golongan muda, bermula dari peringkat awal usia ke arah melakukan jenayah seksual termasuk sumbang mahram.
Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata, ketika ini masyarakat dapat melihat dengan jelas bahawa setiap kanak-kanak memiliki telefon pintar di tangan mereka dengan mata masing-masing sentiasa tertumpu kepada skrin peranti itu.
Katanya, lebih membimbangkan apabila telefon pintar kini mempunyai akses tanpa batasan termasuk kandungan negatif dan berunsur seksual yang cepat mempengaruhi minda golongan muda termasuk kanak-kanak.
“Perkara negatif seperti ini cepat mempengaruhi kanak-kanak. Mereka bukan sahaja menggemarinya, malah menjadi ketagihan sehingga ada yang berkerumun untuk bersama-sama melihat paparan pada skrin peranti tersebut.
“Hasil dilihat pula diamalkan dan inilah bahaya teknologi tanpa batasan jika tidak dikawal atau dipantau oleh golongan dewasa terutama ibu bapa,” katanya pada program Subuh Seperti Jumaat sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek Muhammadi, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat mengambil berat perkara berkenaan dan sentiasa memberi perhatian serta memantau apa yang terkandung atau dilihat oleh anak-anak dalam telefon pintar masing-masing. – UTUSAN