PENANTIAN berakhir 1 Mei ini apabila filem yang ditunggu-tunggu iaitu Telaga Suriram akhirnya menjengah pawagam selepas beberapa tahun diperam.
Namun menjadi cabaran buat penerbit, Yus Yusop dan pengarah, Osman Ali untuk memastikan kejayaan filem ini kerana tarikh tayangan yang berdekatan dengan beberapa filem besar tempatan yang lain antaranya Kulit Wayang, Gayong, Keluang Man, 6 Jilake dan banyak lagi.
Meskipun keadaan itu menimbulkan kerisauan, Osman yang juga penulis cerita ini meyakini kekuatan Telaga Suriram untuk menarik penonton.
Berbekalkan kualiti penceritaan ditahap terbaik, disamping persembahan lakonan memberangsangkan barisan anak wayang gred A tanah air, mampukah Telaga Suriram menyusul atau menandingi kutipan Blood Brothers di pawagam?
Apa pandangan Osman mengenai persaingan kepada filem ini apabila banyak filem lain ditayangkan juga dalam tempoh berdekatan?
Pada awalnya kami memilih 30 Mac 2025 untuk menayangkan Telaga Suriram namun tarikh itu ditukar kepada 1 Mei disebabkan terdapat filem lain yang ditayangkan pada hari sama.
Keputusan itu dibuat tanpa maklumat mengenai tarikh tayangan filem-filem yang lain. Tidak wajar pula untuk kami rombak lagi tarikh tayangan Telaga Suriram walaupun saya tidak nafikan, memang sedikit risau dengan lambakan filem lain yang ditayangkan dalam tempoh berdekatan.
Apa pun saya anggap ini satu persaingan sihat dan meyakini kekuatan Telaga Suriram untuk menarik penonton ke pawagam.
Harapan saya penonton dapat memberikan sokongan kepada semua filem kita.
Bercakap tentang kekuatan, boleh Osman jelaskan kenapa Telaga Suriram perlu ditonton peminat filem tempatan?
Kekuatan utama adalah jalan cerita. Saya nak jemput penonton ke dunia Suriram yang penuh misteri, mistik, pergolakan dan konflik.
Saya yakin penonton akan masuk, terperangkap dan keluar dengan jawapan bagi setiap persoalan dalam cerita ini, termasuklah siapa pembunuh misteri yang diburu itu.
Dari mana datangnya ilham cerita filem ini?
Ia adalah gabungan antara pengalaman zaman kecil saya dengan situasi kehilangan dan kematian kanak-kanak yang banyak berlaku sekarang ini.
Telaga merupakan sumber air penting bagi tempat saya membesar di Kedah dulu. Bahkan di kampung nenek saya di Selatan Thailand juga bergantung kepada telaga untuk mendapatkan sumber air bagi kegunaan harian.
Tidak banyak, tetapi ada berlaku kes kematian kanak-kanak yang kemudiannya mayatnya dijumpai dalam telaga. Walaupun logiknya, kanak-kanak itu mati kerana jatuh dan lemas, penduduk kampung tetap mengaitkannya dengan perkara mistik.
Sekarang pula banyak kes kehilangan dan kanak-kanak yang dijumpai mati. Jadi, saya gabungkan pengalaman lampau dan isu semasa sebagai inspirasi jalan cerita Telaga Suriram.
Apakah lagi tarikan yang Osman mahu penonton tahu agar mereka datang menonton filem ini nanti?
Pelakonnya. Filem ini tidak jual populariti pelakon, tapi kehebatan lakonan mereka. Yang membarisi line up filem ini ialah pelakon hebat yang ramai antara mereka, pemenang anugerah. Insya-Allah, persembahan mereka saya letakkan pada tahap 10 per 10.
Penonton tentunya sudah dapat menjangkakan persembahan lakonan bagaimana yang akan mereka tonton daripada Maya Karin, Nabila Huda, Ellie Suriaty Omar, Farid Kamil, Scha Al-Yahya, Fauzi Baadila dan ramai lagi. Filem ini meraikan aktor sinema. Agak lama juga budaya itu tidak kita ketengahkan.
Apa cabarannya apabila mengarahkan pelakon-pelakon yang bukan sahaja nama besar tetapi juga hebat dalam kerja seni mereka?
Cabarannya adalah bagaimana untuk menyeimbangkan kekuatan agar mereka tidak menenggelamkan satu sama lain.
Ia tugas berat. Saya pastikan sepanjang penggambaran dan ketika proses suntingan, tiada watak yang ditenggelami watak lain.
Apa pun saya gembira dan kagum dengan sikap aktor dan aktres yang terlibat. Tidak langsung mereka merungut untuk berlatih dan dibimbing walaupun nama mereka cukup gah.
Tiada berlaku sikap ‘aku dah berlakon lama, kenapa perlu rehearsal.
Mereka semua datang kosong, sedia untuk dibentuk mengikut karakter yang mereka lakonkan.Komitmen mereka pada tahap terbaik.
Sebab itu, saya yakin filem ini cukup kuat untuk menarik penonton. Kami tidak jual nama mereka, kami jual kehebatan lakonan mereka.