LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang dianggarkan kehilangan jutaan ringgit hasil daripada penjualan balak dan durian Musang King berikutan pencerobohan ribuan hektar tanah di Raub, dekat sini.
Hasil daripada penerokaan tidak sah itu hanya menguntungkan penceroboh yang mengaut keuntungan lumayan daripada penjualan hasil balak dan durian Musang King ke pasaran tempatan serta luar negara.
Sehubungan itu, Pas menyokong tindakan tegas kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan dan penanaman Musang King secara haram di Raub yang semakin membimbangkan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya kesal dengan sikap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang dilihat gagal mendukung usaha kerajaan negeri menegakkan undang-undang serta mempertahan kedaulatan tanah kerajaan.
“Tindakan penguatkuasaan ini dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah menetapkan hak milik kepada kerajaan negeri.
“Sepatutnya sebagai anggota kerajaan, beliau menyokong langkah ini dan bukan mempertikai atau membuat tuduhan tidak berasas,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Peringkat Parlimen Lipis, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak merampas tanah sebagaimana didakwa, sebaliknya bertindak mengikut lunas undang-undang setelah peluang diberikan kepada pihak yang terlibat untuk membawa kes ke mahkamah.
Beliau turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas ketegasan baginda agar semua pihak mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Pencerobohan tanah berskala besar menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil cukai tanah manakala hasil balak dan Musang King yang mencecah jutaan ringgit telah dijual secara haram tanpa memberi sebarang keuntungan kepada negeri,” katanya.
Menurutnya, kesan aktiviti penerokaan haram itu bukan sahaja merugikan dari segi ekonomi, malah menjejaskan alam sekitar apabila sungai-sungai menjadi cetek dan tercemar.
Beliau turut mencadangkan pemantauan dan audit berterusan dilakukan di semua daerah termasuk kawasan seluas lebih 3,000 hektar di sempadan Negeri Sembilan yang dikenal pasti turut diceroboh.
Katanya, lebih membimbangkan apabila penerokaan tersebut bukan sahaja melibatkan penduduk tempatan, tetapi juga individu dari luar negeri dan tidak mustahil membabitkan warga asing. – UTUSAN