Tarif: Tengku Zafrul, Amir Hamzah lawat AS hujung bulan ini

Tarif: Tengku Zafrul, Amir Hamzah lawat AS hujung bulan ini

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan  mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat hujung bulan ini bagi mengadakan rundingan isu tarif.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan tersebut untuk membuka rundingan bersama pentadbiran White House berhubung isu tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia.

“Ini hasil daripada Mesyuarat Nasional Geoekonomi Command Centre yang telah diadakan pada 14 April lalu. 

“Perbincangan ini juga susulan kesepakatan negara-negara ASEAN untuk mendepani isu tarif secara bersama dan bersepadu,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

AS mengenakan tarif sebanyak 24 peratus kepada Malaysia, sementara negara ASEAN lain dikenakan tarif antara 10 hingga 49 peratus. AS bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan tarif itu selama 90 hari bagi membolehkan rundingan diadakan.

Sementara itu, Fahmi berkata, lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia berakhir hari ini, disifatkan amat berjaya dan bersejarah dalam memperkukuh hubungan yang telah terjalin selama 50 tahun antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai semasa lawatan tersebut, melibatkan pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pendidikan, teknologi hijau, ekonomi digital dan pelancongan.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dan mungkin yang tertinggi pernah dicapai. Ia membuktikan keyakinan China terhadap dasar dan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Berdasarkan statistik terkini, perdagangan antara kedua-dua negara melebihi AS$200 bilion (RM900 bilion) pada 2024, menunjukkan pentingnya hubungan itu dalam konteks ekonomi global.

Menurut Fahmi, lawatan selama tiga hari itu bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan China, tetapi turut mempererat hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin.

“Saya lihat lawatan negara ini bukan hanya sangat berjaya merapatkan hubungan dagang antara kedua-dua negara, tapi juga mengeratkan hubungan antara Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap dapat meneruskan hubungan dengan pelbagai negara yang ingin berdagang dengan kita. Sudah pasti lawatan Presiden Xi mencapai maksud itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya