PERMATANG PAUH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif melampau ke atas beberapa negara membangun sebagai satu bentuk ketidakadilan ekonomi global yang semakin ketara dan menggugat kestabilan pasaran antarabangsa.
Menurut Nurul Izzah, langkah drastik yang diambil oleh kuasa besar dunia itu perlu dijadikan satu iktibar serta peluang penting untuk negara-negara membangun mengenal pasti apakah yang sebenarnya dipertaruhkan dan siapa musuh sebenar dalam permainan geopolitik ekonomi dunia.
“Saya fikir ini satu peluang besar untuk kita memahami apa yang dipertaruhkan dan siapa musuh sebenar,” katanya selepas menghadiri Majlis Rewang Ketupat sempena Aidilfitri bersama penduduk setempat di Yayasan Aman di sini, hari ini.
AS sebelum ini telah mengenakan tarif kepada lebih 180 negara termasuk Malaysia dan ia dijangka memberi impak yang cukup besar untuk jangka masa panjang. Kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia adalah sebanyak 24 peratus.
Nurul Izzah berkata, Malaysia perlu memperkukuh solidariti bersama negara-negara ASEAN dalam menghadapi tindakan perdagangan AS itu.
“Apabila kuasa-kuasa besar bertindak sembrono, syarikat dan ekonomi negara membangun pasti menerima kesan. Maka, penting untuk kita tidak hanya menjadi pemerhati tetapi, berdiri bersama dalam solidariti serantau bagi menghadapi cabaran ini,” katanya.
Nurul Izzah berkata, pada masa ini, peranan industri kecil dan sederhana (IKS) perlu diperkukuh dalam mengekalkan ketahanan ekonomi negara di saat ketidaktentuan global.
“Kesiapsiagaan dalam menyokong IKS adalah benteng kita. Kita mesti mampu berdiri sendiri, tidak bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sebagai kuasa ‘menengah’ perlu memainkan peranan sebagai jambatan keamanan dan bukan sekadar mengikut arus kuasa besar dunia.
“Kita tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar. Sebaliknya, kita perlu memanfaatkan kedudukan kita untuk memperkukuhkan keharmonian dan kestabilan serantau,” katanya. – UTUSAN