Tarif baharu AS: Malaysia cari jalan penyelesaian

 Tarif baharu AS: Malaysia cari jalan penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS) ekoran tarif baharu yang diperkenalkannya kepada beberapa sektor ekonomi dari negara ini.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian bagi mencapai situasi menang-menang antara dua negara.

Menurutnya, kerajaan akan kekal tenang dan tegas, di samping mempertahankan kepentingan strategik negara serta mendapatkan resolusi yang menguntungkan kedua-dua negara.

Sehubungan itu, kata beliau, Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif balas seperti yang dikenakan oleh AS iaitu sebanyak 24 peratus.

“Dalam semangat mengekalkan hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dengan, kerajaan Madani akan terlibat secara secara konstruktif dengan AS untuk melindungi akses pasaran, memelihara keyakinan pelabur dan hasil yang adil untuk pengeksport kita.

“Pendek kata, kita mesti mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama, adil dan saksama untuk masalah ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di rangkaian media sosial beliau lewat petang semalam.

Anwar berkata, beberapa usaha sudah pun dijalankan oleh kerajaan termasuk Kemeterian Luar yang sedang menganalisis dan simulasi impak tarif dilakukan oleh Presiden AS, Donald Trump itu secara terperinci.

Katanya, rundingan bersama pihak berkepentingan merentas industri dan komunikasi secara langsung dengan rakan sejawatan di AS termasuk firma negara tersebut yang sudah beroperasi lama di dalam negara ini turut dilakukan.

“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, daripada perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini iaitu sebanyak 4.5 ke 5.5 peratus perlu dikaji semula.

“Namun, buat masa ini, izinkan saya meyakinkan semua bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan akan berlaku, ekonomi kita akan kekal berdaya tahan. Asas makroekonomi kita kekal kukuh termasuk perbelanjaan isi rumah, pelaburan domestik dan penerimaan pelancong,” katanya.

Selain daripada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan menubuhkan Pusat Pemerintahan Geo-ekonomi Negara (NGCC) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri sebagai langkah awal bagi menangani kesan tarif tersebut.

“Dalam minggu akan datang, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian yang mendalam mengenai kesan tarif ke atas beberapa sektor eksport ke AS.

“Menterinya akan mengadakan pertemuan secara maya dengan semua Menteri Ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindak balas yang akan diselaraskan,” katanya.

Mulai 2 April lalu, AS melaksanakan tarif menyeluruh terhadap barangan importnya dari hampir seluruh dunia dan Malaysia antara yang dijangka terjejas dengan langkah itu.

Berkuat kuasa semalam, setiap produk Malaysia yang dihantar ke AS akan dikenakan sekurang-kurangnya 10 peratus duti dan mulai Rabu, kebanyakannya akan dikenakan kadar 24 peratus.

Anwar berkata, sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia menganggap keputusan unilateral AS itu sebagai ancaman utama kepada sistem perdagangan dan pelaburan global.

“Kerajaan Madani berpegang teguh pada pandangan bahawa pengenaan tarif tambahan ke atas setiap negara yang berdagang dengan Amerika Syarikat merupakan penolakan terhadap prinsip bebas, tidak diskriminasi, boleh diramal dan perdagangan terbuka di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia,” ujarnya.

“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor yang akan terjejas teruk dengan pelaksanaan tarif. Semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan kita.

“Kerajaan Madani  juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian – seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan lain-lain – untuk membina daya tahan jangka panjang bagi ekonomi dan industri Malaysia,” katanya.

Di peringkat serantau katanya, Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dengan negara jiran ASEAN.

Anwar berkata, rantau ini adalah antara negara yang dikenakan tarif tertinggi oleh AS dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, akan mengetuai usaha untuk membentangkan serantau yang bersatu, mengekalkan rantaian bekalan terbuka dan berdaya tahan serta memastikan suara kolektif ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

“Kita mesti mengakui pusingan tarif yang meluas ini mungkin hanya permulaan kepada cabaran yang lebih besar pada masa depan daripada ekonomi luar,” ujarnya.

Oleh itu katanya, negara mesti bersedia dari segi mental untuk mengharungi cabaran akan datang dan bekerjasama bagi menjaga kemakmuran yang berterusan. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya