PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mengenai pelbagai perkara termasuk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) dan masa depan kerjasama antara dua negara.
Perdana Menteri berkata, beliau berbincang mengenai kesan tarif yang dikenakan kepada beberapa negara itu dan kesannya pada ekonomi dunia.
Selain itu, menurutnya, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia sudah mengadakan perbincangan bersama pimpinan negara ASEAN selain menyatakan kesepakatan dan kebersamaan untuk meneruskan rundingan dengan AS mengenai perkara itu.
“Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid.
“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Sarawak,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Anwar mengadakan perbincangan bersama Shigeru menerusi perbualan telefon sebentar tadi sebaik sahaja tamat istiadat Sambutan Negara untuk menyambut kedatangan Presiden China, Xi Jinping.
Anwar berkata, perbincangan seterusnya bersama Shigeru berhubung kejadian gempa bumi di Myanmar yang menyaksikan kehilangan nyawa rakyat Jepun dalam bencana tersebut.
Katanya, beliau mewakili Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada Shigeru atas kehilangan tersebut.
“Malaysia menghargai usaha Jepun yang turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula negara berkenaan.
“Hubungan Malaysia Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik,” katanya.-UTUSAN