PUTRAJAYA: Duo pengarah filem Blood Brothers: Bara Naga, Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof mendedahkan adegan aksi terakhir dalam naskhah berkenaan mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.
Menurut Abhilash Chandra, aksi pertempuran tiga watak utama filem itu di sebuah gudang adalah yang paling sukar kerana melibatkan pergaduhan, letupan dengan jumlah pelakon tambahan yang ramai.
“Aksi yang paling mencabar ialah pada act 5 dalam bangunan lama. Ia adalah adegan aksi akhir filem ini di mana ia memakan masa hampir sebulan untuk dihasilkan.
“Kita lakukan penggambaran setiap hari dan kita perlu datang semula ke set. Bila ingat kembali, ia sangat sukar,” katanya ketawa ketika bercerita mengenai perkara itu.
Tambah Syafiq pula, ada ketikanya, dia tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada pelakon bahawa mereka perlu melakonkan babak aksi berulang kali kerana belum mendapatkan ‘shoot’ yang diinginkan.
“Adegan di mana tiga watak utama bergaduh, saya ingat lagi kita buat banyak ‘take’. Kita tak buat semua itu hanya dengan satu ‘take’ ya.
“Kadang nak beritahu mereka kena ulang kali ke-17 babak itupun tak sampai hati. Tapi
mereka lakukan yang terbaik. Ada banyak tangisan dan pengorbanan sepanjang penggambaran filem ini,” katanya.
Bercerita tentang proses penciptaan cerita Blood Brothers, Abhilash dan Syafiq masing-masing teliti untuk mengetengahkan karakter yang boleh menyentuh hati penonton.
“Saya dan Syafiq mencari apa yang ada di luar sana dan apa yang kami boleh sajikan sebagai kandungan terbaik kepada penonton kami.
“Kami senaraikan semuanya dan dari situ kami bekerja untuk hasilkan satu filem yang boleh membuatkan penonton berasa dekat.
“Oleh itu, asasnya ialah perlu ada karakter yang mempunyai nilai kemanusiaan. Selain itu sudah tentu aksi yang ditampilkan. Itulah apa yang kita dapat daripada filem ini,” jelasnya Abhilash yang turut mengetuai pasukan penulis skrip Blood Brothers.
Blood Brothers menceritakan tentang persaudaraan dan kesetiaan geng mafia bernama Naga yang teruji. Filem ini ditayangkan bermula 10 April lalu. – UTUSAN