SEJAK menganjurkan kempen Subuh Macam Jumaat, tidak dinafikan penyanyi dan pelakon,
Alif Satar telah menuai pelbagai respons positif dalam kalangan masyarakat. Bahkan, kempen tersebut turut mempunyai pengikut tersendiri iaitu Geng Subuh Macam Jumaat.
Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, berkata, kempen itu dianjurkan pada awalnya untuk membentuk umat Islam terutamanya golongan muda memperbaiki rukun Islam yang kedua.
Geng Subuh Macam Jumaat ini merupakan satu platform untuk menyedarkan dan mengingatkan orang ramai. Pintu masjid sentiasa terbuka menantikan jemaahnya datang beribadah.
“Dan yang paling penting, saya mahu ajak semua orang muda untuk kerap datang ke masjid. Kalau tengok sekarang pun orang muda sudah ramai mula pergi ke masjid. Itu yang seronok,” katanya kepada Pancaindera.
Menurut pengacara berkaliber itu, dia mahu memanfaatkan peranannya sebagai selebriti untuk mengajak orang ramai terus melakukan kebaikan di samping mahu menghidupkan suasana di masjid terutamanya waktu Subuh.
“Pada saya, itulah peranan saya sebagai artis dan duta bagi mana-mana jenama. Saya yakin setiap jenama yang melantik saya sebagai duta dan sebagainya percayakan saya memandangkan itu bukanlah kolaborasi biasa- biasa.
“Jadi, saya menggunakan peluang tersebut untuk terus mengajak orang buat kebaikan. Kita memang perlu selalu mengingati antara satu sama lain. Iman ada naik atau turun. Saya sendiri pun bukan manusia sempurna,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai kempen Subuh Macam Jumaat ini, Alif memberitahu gerakan tersebut bukan sekadar menjemput orang ramai untuk menunaikan solat Subuh, malah program itu akan diselitkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang lebih santai.
“Apa yang menariknya, kempen ini kita boleh anjurkan dalam pelbagai aktiviti. Saya pernah anjurkan program larian di Kuala Lumpur sebelum ini yang disertai 5,000 orang.
“Saya juga pernah buat konvoi, naik motor beramai-ramai dan solat di masjid di Genting. Program itu juga disertai sekitar 1,000 penunggang motosikal. Kita buat itu macam bersahaja saja. Tapi orang datang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Alif turut meluahkan rasa bangga apabila gerakan tersebut sudah
berkembang ke peringkat global dan tidak hanya dijayakan di Malaysia.
“Alhamdulillah, kempen ini sekarang turut dijayakan di peringkat global. Ke mana saja
saya pergi, Subuh Macam Jumaat ini ada. Macam sebelum ini, saya pergi ke Brunei, seramai 5,000 jemaah yang hadir.
“Kenalan saya Sonny Bill, turut menjayakan gerakan sama di New Zealand, Australia dan mana-mana negara yang dia pergi. Dia pun ada dia punya Geng Subuh sendiri,” jelasnya.
Tambahnya, dia tidak kisah jika kempen tersebut dianjurkan tanpa kehadirannya sebaliknya menganggap objektifnya untuk mengajak orang ramai ke masjid sudah tercapai dengan berjaya.
“Kempen ini seperti satu gelombang yang besar. Selepas saya anjurkan kempen itu di mana- mana masjid atau negeri, kariah di sana akan terus buat aktiviti itu di tempat masing-masing.
“Tak perlu ada saya pun tidak apa. Masjid tetap akan ada walaupun saya tiada di sana. Pakai sahaja nama Geng Subuh Macam Jumaat ini. Jangan buat t-shirt danjual saja,” kongsinya.
Terharu melihat gerakan itu menerima impak positif,penyanyi lagu Cukup Indah itu turut menzahirkan rasa syukur kerana niat baiknya menerima sokongan kuat daripada agamawan.
“Saya pun rasa bersyukur dengan sokongan mufti-mufti, Menteri Hal Ehwal Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semua pihak ini sangat menyokong benda yang baik ini. Saya bersyukur sebab mereka pun tahu kempen seperti ini sangat diperlukan,” ujarnya.