KUALA TERENGGANU: Denda yang tinggi perlu dikenakan terhadap pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) kerana berisiko menyebabkan kemalangan maut kepada pengguna laluan tersebut.
Dr. Mamad Puteh (Pas-Kuala Berang) berkata, isu haiwan berkeliaran tersebut sudah lama berlarutan dan belum berkesudahan.
Katanya, baru baru ini, ada penduduk yang meninggal dunia akibat kemalangan melanggar lembu dan sebelum itu, seorang lagi jirannya terlibat kemalangan merempuh sekumpulan lembu di LPT2 menyebabkan kecederaan kekal dan kerosakan kenderaan baru.
“Buat masa ini, LPT2 membuat penambahbaikan dan sentiasa memantau pagar keselamatan. Terima kasih, namun masih ada berlaku pencerobohan haiwan liar. Saya mencadangkan haiwan yang masuk dalam sempadan lebuhraya, haiwan tersebut boleh dianggap tiada pemilik.
“Dengan kata lain, pemilik hilang hak ke atas ternakan tersebut atau lucut hak. Nampak keras tetapi sesuai memberi pengajaran kepada pemilik dan satu enakmen perlu diubah agar selari dengan hasrat ini,” katanya dalam sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar tindakan menembak monyet liar dilakukan segera kerana mengganggu rutin harian penduduk di sekitar Hulu Terengganu. – UTUSAN