KOTA BHARU: Penduduk di negeri ini dicadang berkongsi kenderaan dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar ini terutama di Pasar Siti Khadijah dan Jalan Sultanah Zainab.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sikap segelintir pemandu yang suka menunggu di dalam kereta dan meletak kenderaan berhampiran pasar turut menjadi penyumbang kepada masalah tersebut.
“Mengambil contoh di Bandung, Indonesia, penduduk di sana bergilir-gilir kenderaan mengikut nombor plat genap dan ganjil. Kenderaan bernombor plat genap akan tumpang ganjil, begitulah sebaliknya.
“Bagaimanapun terdapat jalan alternatif untuk mengelak kesesakan di dua lokasi berkenaan dan biasanya kesesakan ini berlaku pada waktu kemuncak,” katanya semasa menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) pada persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Hilmi berkata, berpandukan kepada laporan trafik tahun lalu, Kota Bharu merupakan bandar kedua paling sesak di negara ini selepas Pulau Pinang.
Katanya, di Pulau Pinang tempoh masa yang diambil untuk jarak 10 kilometer ialah 27 minit sementara Kota Bharu 23 minit bagi tempoh sama. – UTUSAN