PUTRAJAYA: Seorang bekas peguam memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sangat mendesak supaya perjanjian usaha sama syarikat itu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) boleh dimuktamadkan.
Bekas rakan kongsi firma guaman Wong & Partners, Brian Chia Hock Gee dalam keterangannya berkata, ia bagi membolehkan syarikat pelaburan strategik negara itu menandatangani perjanjian berkenaan dengan PSI pada 28 September 2009.
Hock Gee berkata, firma guaman itu memberikan khidmat nasihat kepada 1MDB pada 16 September 2009 bagi memuktamadkan perjanjian usaha sama terbabit dengan nilai AS$1 bilion.
Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sama ada beliau mengetahui Shahrol Azral mengambil ‘arahan’ daripada orang atasan, saksi itu menjawab, beliau tidak tahu.
Hock Gee berkata, beliau juga tidak tahu sama ada Shahrol Azral adalah pembuat keputusan akhir dalam transaksi berkenaan.
Saksi itu berkata, semua pengurusan dana termasuk urusan berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM), dilakukan Shahrol Azral dan bekas Pengarah Eksekutifnya, Casey Tang Keng Chee.
“Wong & Partners tidak mempunyai apa-apa peranan berhubung pembayaran itu. Kami tidak mengendalikan sebarang dana termasuk urusan dengan bank yang berkaitan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Amalan Korporat dan Sekuriti Komersial Wong & Partners berkata, firma guaman terbabit tidak memainkan peranan dalam pemindahan AS$1 bilion untuk usaha sama berkenaan.
Katanya, beliau hanya dimaklumkan sejumlah AS$700 juta dihantar ke akaun nominee PSI dan baki AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI.
Saksi itu juga mengesahkan beliau menulis memorandum yang mengetengahkan risiko undang-undang dalam memasuki usaha sama berkenaan.
“Saya memberi nasihat dan mereka memutuskan untuk meneruskan usaha sama ini atas dasar ia adalah pelaburan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“Ia bukan bagi saya untuk mempersoalkan (usaha sama ini)…saya sudah memberikan khidmat nasihat dan memberi amaran mengenai risikonya,” katanya.
Berdasarkan usaha sama itu, 1MDB melakukan pelaburan ekuiti sebanyak AS$1 bilion manakala PSI menyuntik aset bernilai AS$1.5 bilion.
Bagaimanapun, penghantaran dana dibahagikan kepada dua atas arahan 1MDB yang mana hanya AS$300 juta dipindahkan ke syarikat berkaitan usaha sama, manakala AS$700 juta berakhir dalam syarikat Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Dalam keterangan sebelum ini, Shahrol Azral memberitahu mahkamah, perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta kepada 1MDB yang berpunca daripada pindahan dana dibuat 1MDB kepada Good Star.
Shahrol Azral menjelaskan hutang itu merujuk kepada perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI Ltd pada 25 September 2009 yang mana ketika perjanjian, pengesahan syarikat usaha sama belum dimeterai.
Katanya, pinjaman AS$700 juta itu dibuat antara 1MDB-PSI Ltd iaitu sebagai peminjam, manakala syarikat samaran, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai pemiutang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN