KOTA BHARU: Sebuah syarikat pembinaan kondominium mewah didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di sini, enam tahun lalu.
Hukuman itu ditetapkan selepas syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili pengurus projek syarikat, Yang Chuangang membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, syarikat OKS melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke sesalur utama awam tanpa mendapat kebenaran sah daripada AKSB Perbuatan itu dilakukan di Lot 10014, Seksyen 12 di sini pada 11 September 2019.
Syarikat tersebut didakwa mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 123(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhairy Zakaria dan Pegawai Pendakwa, Thilaga Shanmugam yang mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) manakala wakil syarikat berkenaan tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Thilaga memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap syarikat OKS memandangkan kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.
Thilaga berkata, syarikat berkenaan membuat penyambungan tanpa lesen untuk tujuan komersial dan kepentingan mereka sendiri sedangkan nilai projek pembinaan mereka adalah sebanyak RM89 juta.
“Selain itu, perbuatan tersebut juga menyebabkan AKSB menanggung kos yang tinggi,” katanya.
Chuangang dalam rayuannya memohon denda yang minimum memandangkan ia merupakan kesalahan pertama syarikat berkenaan selain berjanji tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM50,000 dan OKS menbayar jumlah yang ditetapkan. – UTUSAN