SWSI: PBAPP jangka bekalan air pulih 40 peratus dalam 24 jam

SWSI: PBAPP jangka bekalan air pulih 40 peratus dalam 24 jam

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kira-kira 40 peratus daripada 341,708 pengguna yang dijangka terjejas susulan Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) bermula 25 April ini akan menerima semula bekalan air mereka dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pemulihan bekalan air itu seterusnya dijangka mencapai tahap 88 peratus dalam tempoh 48 jam dan pulih sepenuhnya dalam masa 60 jam selepas operasi dimulakan.

Katanya, gangguan air tersebut melibatkan kesemua lima daerah di negeri ini dengan matlamat utamanya ialah untuk melaksanakan 23 projek kerja air di 26 lokasi yang kritikal bagi mengoptimumkan sistem bekalan air di negeri ini.

“Dalam tempoh 48 jam juga, perkhidmatan bekalan air yang dijangka pulih sehingga 88 peratus itu turut melibatkan kilang-kilang utama di kawasan perindustrian selain kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, PBAPP menjangkakan gangguan bekalan air itu dijadual bermula kira-kira pukul 10 malam, 25 April depan susulan henti tugas separa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. 

Semua projek kerja air dijangka siap sepenuhnya pada petang Sabtu, 26 April sebelum proses pemulihan dimulakan. 

Antara kawasan yang terjejas termasuk sebahagian besar di daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan serta kawasan di Daerah Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau.

Bagaimanapun, beberapa kawasan tidak akan terjejas seperti Bertam, Kepala Batas, Air Itam, Paya Terubong, Tanjong Tokong dan Balik Pulau (utara), bergantung kepada zon perkhidmatan LRA masing-masing.

Menurut Pathmanathan lagi, pelan penghantaran lori tangki air yang komprehensif juga akan diumumkan bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh pengguna sepanjang tempoh SWSI ini.

“Sehubungan itu, PBAPP menasihatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air mencukupi bagi keperluan selama antara 24 hingga 60 jam, bergantung kepada lokasi kediaman atau tempat kerja masing-masing,”katanya.

Tambah beliau, SWSI ini merupakan satu-satunya gangguan bekalan air berjadual yang akan dilaksanakan oleh PBAPP sepanjang tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya