SWSI: 80 lori tangki, 182 tangki air digerak bantu pengguna terjejas

SWSI: 80 lori tangki, 182 tangki air digerak bantu pengguna terjejas

PBAPP akan menggerakkan lori tangki dan tangki air kepada pengguna bagi memastikan keperluan pengguna tidak terjejas sepanjang gangguan bekalan air berjadual di Pulau Pinang bermula 25 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebanyak 80 lori tangki dan 182 tangki air akan digerakkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi menghadapi Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) bermula 25 April ini dalam usaha memastikan keperluan air pengguna yang terjejas terus terjaga.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pelaksanaan pelan bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu untuk membantu 341,708 pengguna yang terkesan sepanjang tempoh gangguan berlaku.

“SWSI ini melibatkan henti tugas separa operasi Loji Rawatan Air Sungai Dua bermula pukul 10 malam, 25 April ini dan sebanyak 23 projek kerja air akan dilaksanakan serentak di seluruh negeri (susulan penghentian tugas separa operasi itu),”katanya di sini, hari ini.

Menurut Pathmanathan, gangguan itu dijangka memberi kesan kepada pengguna di kelima-lima daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS),  Timur Laut (DTL) dan Barat Daya (DBD), serta beberapa kawasan di selatan Seberang Perai Utara (SPU).

“Dalam hal ini, PBAPP menyasarkan pemulihan bekalan air secara berperingkat bermula pukul 4 petang, 26 April, dengan 40 peratus pemulihan dicapai menjelang malam hari yang sama melibatkan kawasan SPU, SPT dan DTL.

“Menjelang 10 malam, 27 April, sebanyak 88 peratus pemulihan dijangka, manakala bekalan penuh dijangka pulih pada pukul 10 pagi, 28 April. Namun, kawasan hujung paip agihan dan tanah tinggi akan mengambil masa sehingga 60 jam,” katanya.

Pathmanathan berkata, Pelan Bantuan Bekalan Air (WRP) PBAPP akan dilaksanakan dalam tiga fasa, bermula dengan pengagihan penuh lori dan tangki air pada 25 April selama 24 jam pertama di kawasan terjejas utama.

“Fasa kedua menyaksikan pengurangan tangki air kepada 125 buah dengan penumpuan bantuan di kawasan SPS dan DBD, manakala fasa ketiga akan menumpukan penghantaran air ke kawasan EoL dan tanah tinggi sehingga pemulihan mencecah 95 peratus.

“WRP akan ditamatkan secara berperingkat hanya selepas tahap pemulihan melebihi 95 peratus,” katanya yang memberitahu, walaupun kesulitan dijangka berlaku, projek SWSI ini amat penting kerana melibatkan kerja naik taraf yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada 465,000 pengguna di seluruh negeri.

Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai lokasi tangki air itu boleh diperoleh melalui laman web rasmi PBAPP dan laman Facebook agensi ini.

“Kami (PBAPP) memohon maaf atas kesulitan yang akan dihadapi. Ini adalah langkah perlu untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang lebih kukuh dan mampan pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya