SUNGAI PETANI: Seorang suri rumah yang sarat mengandung anak kedua meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di rumahnya di Taman Universiti Jaya Fasa 2, Semeling, semalam.
Mangsa, 36, yang berasal dari Kuala Terengganu, difahamkan sedang mengalami kesakitan seperti hendak bersalin sebelum tiba-tiba rebah dan pengsan pada jam 5.57 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suami mangsa segera menghubungi ambulans namun wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang tindak balas sepanjang perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Bayi dalam kandungan yang merupakan seorang bayi lelaki juga gagal diselamatkan selepas pembedahan dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siasatan awal mendapati tiada rekod kesihatan lampau direkodkan terhadap mangsa, dan pemeriksaan ke atas mayat mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Jenazah dua beranak itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung suami mangsa di Kuala Kurau, Perak. – UTUSAN