IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia semalam.
Sebagai menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat dan negeri Perak, baginda menitahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang hari ini.
“Beta bersama Raja Permaisuri Perak, Dewan ini dan seluruh rakyat beta di Negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke Rahmatullah Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga Allahyarham .
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat ihsan İlahi ditempatkan dalam kalangan roh para Solihin.
“Menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat dan Negeri Perak, dititahkan bendera Negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di sini hari ini.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun pada pukul 7.10 petang semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. – UTUSAN