TANJUNG MALIM: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Gerbang Suria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu ruang acara serbaguna yang merupakan dewan terbuka pertama di negara ini yang dibangunkan berasaskan sistem solar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
UPSI dalam kenyataan berkata, terletak di UPSI Sport’s City, Kampus Sultan Azlan Shah, Gerbang Suria merupakan dewan terbuka pertama di negara ini yang dibangunkan berasaskan sistem solar, hasil kerjasama Synergy Generated Sdn. Bhd. dan UPSI Holdings Sdn. Bhd.
Menurutnya, dengan 1,440 modul solar terpasang di atas bumbung seluas 3,772 meter persegi, struktur itu menjana sehingga 800 kilowatt-peak (kWp) tenaga bersih.
“Perasmian Gerbang Suria Sultan Nazrin menandakan permulaan era baharu dalam landskap infrastruktur hijau UPSI.
“Sejak beroperasi pada Julai tahun lalu, sistem itu merekodkan penjimatan tenaga sebanyak 3,070,453 kWh bersamaan 22.5 peratus penggunaan elektrik universiti dan mengurangkan 2,303 tan pelepasan karbon, menyokong pelestarian alam sekitar serta pematuhan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023.
“Selain sebagai infrastruktur mampan, Gerbang Suria turut menjadi ruang acara serbaguna universiti dan menjana pendapatan melalui penyewaan kepada pihak luar, selaras dengan usaha pengoptimuman aset dan penjanaan sumber universiti secara lestari,” kata kenyataan UPSI.
Sultan Nazrin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Singapore University of Social Sciences (SUSS).
UPSI menyifatkan MoU itu menandakan permulaan kerjasama strategik penyelidikan tiga hala merentasi sempadan negara.
Menurut UPSI, MoU itu berteraskan aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan bertujuan membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan rakyat dalam bidang ekonomi kesejahteraan, pembangunan komuniti, reka bentuk inklusif, seni dan pendidikan.
Inisiatif itu, kata UPSI mendapat sokongan daripada The Millet Group dan Persatuan Kemudahan Penjagaan Berbantu (ALFA) Singapura, yang bersama-sama komited menggerakkan ekosistem strategik yang menjana impak sebenar kepada masyarakat.
“Menginsafi situasi ini, UPSI bersama Institut Darul Ridzuan & Singapore University of Social Sciences sedang mengorak langkah meneroka ruang usahasama dalam bidang care economy atau ekonomi penjagaan.
“Melalui Memorandum Persefahaman UPSI bersama IDR & SUSS akan mengukuhkan kerjasama erat dalam bidang penyelidikan, pendidikan, perundangan dan latihan Ekonomi Penjagaan,” kata UPSI. – UTUSAN