KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memberikan penghormatan akhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, hari ini.
Sultan Mizan meluangkan masanya sekitar 15 minit bagi menziarahi jenazah Perdana Menteri Kelima.
Sultan Mizan sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 2006 iaitu ketika era pemerintahan Abdullah.
Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah meninggal dunia pada usia 86 tahun iaitu pada semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Doktor yang bertanggungjawab merawat Pak Lah di IJN memaklumkan bahawa Allahyarham mengalami masalah pernafasan lalu dimasukkan ke dalam wad sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Allahyarham merupakan Perdana Menteri kelima yang berkhidmat dari tahun 2003 sehingga 2009 bagi menggantikan Mahathir. – UTUSAN