ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.
Titah baginda, langkah berkenaan adalah bagi memastikan setiap pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat di negeri Jelapang Padi itu.
Sultan Sallehuddin bertitah, kesejahteraan rakyat adalah nadi penting bagi sebuah kerajaan yang baik dan stabil di samping merencana pembangunan negeri.
“Sehubungan itu, bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang dan menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan beta hendaklah meningkatkan hasil pendapatan negeri.
“Dalam masa yang sama, beta ingin menegaskan kepada pihak yang terlibat untuk memastikan ketirisan hasil negeri dapat diminimumkan kerana ianya menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan beta.
“Tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di sini, hari ini.
Baginda pada masa sama memuji keprihatinan kerajaan negeri yang mementingkan rakyat yang kurang berkemampuan dengan mendirikan rumah kediaman melalui inisiatif Desa Sejahtera.
“Komitmen ini secara langsung dapat memberi nafas lega kepada rakyat yang berada di bawah paras garis kemiskinan,” titah baginda.
Tambah Sultan Sallehuddin, kerajaan negeri juga diharapkan dapat mengekalkan prestasi baik pada tahun mendatang selepas berjaya mencatat kedudukan keempat dalam negara, dengan jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM45.8 bilion berbanding RM28.7 bilion bagi tahun 2023.-UTUSAN