PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim percaya Malaysia dan China akan terus memperkasakan kerjasama kedua-dua negara walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik seantero dunia.
Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi lebih mendalam, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi termasuk China.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping di Istana Negara hari ini sempena lawatan negara ke Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran bahasa antara kedua-dua negara.
“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut kita ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan seiring dengan pembelajaran mereka.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Ke arah ini, saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Seri Paduka.-UTUSAN