PETALING JAYA: Siasatan isu skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah berkait pelesenan lombong mineral masih diteruskan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya sedang menunggu keputusan analisis 10 buah video dakwaan skandal rasuah berkenaan.
“Sebelum ini, apabila keluar lapan video di portal berita, kami (SPRM) menghantar video itu ke makmal forensik yang mana makmal itu diktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia selain mereka mempunyai kepakaran.
“Apabila dibuat analisa dan hasil laporan menunjukkan video itu adalah tidak tulen dan banyak berlaku suntingan,” katanya dalam rancangan di Radio SabahFM hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, pegawai makmal forensik memaklumkan berlaku banyak pecahan pada frame video itu menunjukkan berlaku suntingan.
“Dalam kita menjalankan siasatan kita mengambil kira perkara ini maka ia tidak boleh digunakan sebagai keterangaan menyebabkan tiada sebarang pengesahan dan tidak tahu siapa yang benar sama ada pemberi maklumat, Albert Tei atau ADUN,” jelasnya.
Azam berkata, hanya baru-baru ini sahaja pemberi maklumat berkenaan hendak berkongsi video yang dikatakan tulen dan ia sudah dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.
“Saya sedang menunggu laporan analisa itu kerana ia membabitkan 10 video dan tidak pasti durasinya dan mungkin lebih panjang daripada video sebelum ini.
“Bagaimanapun, seperti saya tegaskan sebelum ini walaupun keputusan laporan belum diperoleh, semua yang terlibat kita sudah panggil dan menayangkan video itu untuk mendapatkan pengesahan cuma siasatan itu tidak boleh saya dedahkan lagi hasilnya,” jelasnya.
Azam memberitahu, dakwaan rasuah membabitkan ADUN itu bukan satu perkara yang boleh diselindungkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Beliau berkata, sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka SPRM iaitu terhadap Albert dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) dan membabitkan lapan Adun itu serta video .
“Jadi semua pihak perlu faham dan saya sudah jelas banyak kali. Jadi, saya harap semua kena bersabar lah.
“Dalam kita menjalankan siasatan ini kita tidak ikut telunjuk (fully guided) atau kita (SPRM) ikut cakap pendapat awam (public opinion) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN negeri ini didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di Sabah. – UTUSAN