KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu pencerobohan tanah secara haram di Pahang akan menumpukan dua perkara iaitu membabitkan isu rasuah dan tatakelola membabitkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pejabat Daerah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan membabitkan pencerobohan tanah di negeri berkenaan telah dimulakan sejak 2021.
Kata beliau, susulan terdapat isu baharu dibangkitkan berhubung perkara itu, SPRM akan meneruskan lagi siasatan berkenaan.
“Kita (SPRM) melihat bagaimana penerokaan tanah secara haram itu boleh dilakukan dalam tempoh masa tertentu.
“Selain itu, kita (SPRM) turut melihat tata kelola yang diamalkan oleh PTG. Jadi siasatan secara menyeluruh akan dilakukan SPRM dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini hari ini.
Sebelum ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pencerobohan tanah menjadi musuh utama di negeri itu, dan bukan hanya dadah dan penjenayah.
Titah baginda, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Menurut baginda, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga diceroboh kononnya atas nama pertanian yang disifatkan sebagai ‘rompakan terbuka’ terhadap harta negeri.
Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memerangi rasuah, Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor kepada pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata MCW menggesa SPRM membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang. – UTUSAN