PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyambung semula sesi rakaman percakapan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sesi keterangan akan memasuki fasa kedua siasatan yang menjurus kepada isu pengisytiharan harta.
Menurutnya, sesi pertama rakaman percakapan Ahli Parlimen Bera itu sebelum ini telah selesai, yang memfokuskan kepada penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah ‘safe house’.
“Dalam tempoh dua minggu ini kami akan bertanya balik dan sekiranya tak dapat dibekalkan, kita akan panggil juga rakaman percakapan untuk menjelaskan kenapa dokumen-dokumen ini tak dapat diperolehi.
“Selain, mana saksi yang beliau boleh kemukakan untuk bantu beliau menyokong dalam pernyataan beliau berhubung dengan pengisytiharan harta,” katanya dalam wawancara khas bersama sebuah stesen televisyen di pejabatnya, hari ini.
Beliau berkata, seramai 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan setakat ini.
Pada 3 Mac lalu, Azam mendedahkan bahawa Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di sebuah premis yang dijadikan tempat simpanan.
Susulan itu, empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri terbabit serta seorang pengurup wang turut ditahan bagi membantu siasatan.-UTUSAN