PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di negara ini.
Perdana Menteri berkata, perayaan itu membawa simbolik mengerat hubungan kekeluargaan dan komuniti dengan menandakan permulaan tahun baharu yang suci dan penghormatan kepada generasi terdahulu.
“Sambutan ini mengingatkan kita semua bahawa perpaduan bukan sekadar terletak pada toleransi tetapi merangkumi pengiktirafan dan penghargaan terhadap warisan serta budaya setiap komuniti.
“Masyarakat Siam adalah sebahagian penting daripada mozaik kebangsaan kita yang turut menyumbang kepada kekayaan identiti Malaysia, ” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Anwar dalam pada itu berkata, kerajaan Madani sentiasa memelihara dan meraikan kepelbagaian yang ada di negara ini.
“Justeru, marilah kita terus memupuk semangat saling memahami dan memperkukuh perpaduan demi kemakmuran bersama,” jelasnya. – UTUSAN