SUBANG JAYA: Masyarakat dinasihatkan agar tidak cepat menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kegusaran ramai terutamanya dalam aspek akidah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, umat Islam perlu berpandukan nasihat daripada jabatan agama mengenai pengurusan ibadah ketika bencana.
“Dalam konteks hari ini, konteks bencana, saya mohon kepada semua rakyat agar melihat dari sudut itu, bukan cepat membuat keputusan (jatuh hukum).
“Perkara itu (solat dalam kuil) kita perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama. Sebenarnya sudah ada nasihat-nasihat yang diberikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa tragedi letupan paip gas Putra Heights, di sini hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar seorang lelaki menunaikan solat di dalam Kuil Sri Maha Kaliamman Putra Heights, Subang Jaya.
Ia susulan kejadian letupan gas di Putra Heights pada Selasa lalu hingga menjejaskan ratusan mangsa yang terpaksa dipindahkan di beberapa PPS.
Menurut laporan Ketua kuil yang dikenali sebagai Murugeswaran, menyatakan, pihaknya sedia membuka rumah ibadat mereka kepada mangsa yang memerlukan tempat berteduh dan menyediakan pelbagai kemudahan asas.
Malah, katanya, pihaknya bukan sekadar memberikan ruang berteduh, tetapi juga menyediakan kemudahan seperti tempat letak kenderaan, tandas dan ruang khas untuk penganut Islam menunaikan solat. – UTUSAN