Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan baru-baru ini mengadakan majlis penutupan Ihya Ramadan dengan penuh kemeriahan dan keberkatan sebagai tanda berakhirnya program sepanjang bulan Ramadan.
Majlis tersebut diadakan di dewan sekolah dan dihadiri oleh para guru, murid-murid, serta Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang turut memberikan sokongan.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program Ihya Ramadan, termasuk tadarus al-Quran, pertandingan azan, kuiz Ramadan, serta ceramah agama yang bertujuan menyemarakkan semangat ibadah dalam kalangan murid-murid.
Seawal pukul 7.45 pagi guru dan murid telah berkumpul di Dewan Ilmu. Program dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh seorang murid terpilih diikuti oleh majlis khatam al-Quran seramai 28 orang murid terpilih.
Dalam ucapannya guru besar, Laila Ismail mengingatkan agar murid-murid sentiasa menjaga solat dan menghormati bulan Ramadan.
Program diteruskan lagi dengan persembahan deklamasi sajak dari dua orang murid terpilih.
Sajak tersebut tentang bulan Ramadan dan sambutan satu Syawal.
Persembahan nasyid ternyata menyerikan lagi program pada hari tersebut di mana dua kumpulan nasyid sekolah membuat persembahan.
Kumpulan nasyid The Brother menarik perhatian ramai apabila menyanyikan lagu nasyid dari kumpulan nasyid popular bertajuk Jom Solat untuk mendidik murid-murid tentang kepentingan solat dalam kehidupan seharian.
Acara berikutnya adalah sesi penyampaian hadiah sagu hati oleh murid tadarus. Kemuncak majlis adalah penyampaian duit raya dan bersalaman diiringi kemerduan lagu-lagu raya.
Pengurus Program Ihya Ramadan, Hasmawi Hussin dalam ucapannya berkata, bahawa program Ihya Ramadan ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi sebagai usaha mendidik murid-murid tentang kepentingan beribadah, berbudi kepada masyarakat, serta meningkatkan kefahaman tentang nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
“Saya amat berbangga dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh murid-murid serta guru-guru dalam menjayakan program ini. Diharapkan segala amalan baik yang dipupuk sepanjang bulan Ramadan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Majlis penutupan turut dimeriahkan dengan sesi penyampaian sumbangan bakul raya kepada anak-anak yatim dan murid-murid yang kurang berkemampuan, sebagai salah satu inisiatif sekolah dalam menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan sesama insan.
Program tersebut berjaya mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan warga sekolah.
Dengan berakhirnya program Ihya Ramadan ini, SK Batu Melintang berharap dapat terus melaksanakan aktiviti-aktiviti bermanfaat pada masa akan datang demi pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik murid-murid.-UTUSAN