SJKC majoriti murid Melayu anjur sambutan Aidilfitri

SJKC majoriti murid Melayu anjur sambutan Aidilfitri

GURU-guru dan murid SJKC Simpang Pertang, Jelebu bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan sekolah berkenaan, hari ini. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Pertang, di sini, yang majoritinya terdiri daripada murid Melayu meneruskan tradisi apabila menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Guru Besar sekolah itu, Lee Meng Chu berkata, terdapat 113 murid di sekolah berkenaan dengan 52 peratus daripada jumlah berkenaan terdiri daripada murid Melayu dan selebihnya 48 peratus terdiri daripada murid Cina, India serta Orang Asli.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri di sekolah berkenaan telah dianjurkan dengan meriah sejak tiga tahun yang lalu.

“Sebenarnya, sejak saya menjadi guru besar di sini  lima tahun yang lalu, kami telah anjurkannya namun pada ketika itu adalah waktu pandemik Covid-19.

“Namun  masuk tahun ketiga kami dapat menganjurkan secara meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum,” katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan hari ini.

Tambahnya, uniknya sambutan tahun ini apabila persembahan silang budaya turut ditampilkan.

“Enam orang murid termasuk seorang murid Cina turut mempersembahkan paluan kompang kepada tetamu. Murid berbangsa India pula tidak ketinggalan menyampaikan lagu raya, saya rasa program ini sangat berjaya dan membanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, Meng Chu berkata, selain sambutan perayaan tiga kaum utama, pihak sekolah kini merancang untuk menganjurkan sambutan perayaan membabitkan masyarakat Orang Asli.

“Ini kerana, kami ada lebih 10 murid Orang Asli di sekolah ini. Jadi kami mahu menganjurkan sambutan buat mereka pada 1 Ogos nanti” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya