KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, terbuka untuk berbincang sekiranya pihak Suria Records (SRC) berminat untuk merakam dan menerbitkan semula 11 buah lagu simpanan yang sebelum ini pernah dirakamkan penyanyi tersohor itu ketika bernaung di bawah label berkenaan.
Kata Siti, beliau sedia mempertimbangkan dan tidak menolak sekiranya tawaran itu membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.
“Kena ada perbincangan dibuat. Sebab rakam lagu ini prosesnya makan masa.
“Saya pula buat masa ini sibuk menyiapkan album tradisional yang harus diselesaikan terlebih dahulu kerana ia dihasilkan dengan menggunakan dana MyCreative.
“Pada masa yang sama, ada beberapa konsert yang akan saya anjurkan selepas ini.
“Jadi buat masa ini sukar untuk saya terima kalau ada tawaran dari pihak SRC untuk merakamkan semula lagu-lagu berkenaan. Tapi, perkara ini boleh dibincangkan.
“Kalau perancangannya bagus dan saya juga melihat apa kebaikannya kepada kedua-dua pihak. Win win situation itu kena ada,” katanya.
Siti berkata demikian selepas pelancaran lagu tema filem Telaga Suriram, Sesal di WTCKL, petang tadi.
Beliau diminta mengulas mengenai perancangan SRC yang mahu menerbitkan kira-kira 11 buah lagu nyanyiannya yang ‘diperam’ label berkenaan sampai ke hari ini.
Kata Siti, beliau dan pihak SRC tidak pernah sekalipun membincangkan mengenai perancangan untuk lagu-lagu tersebut.
Malah penyanyi nombor satu negara itu memaklumkan hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi bacaan di media sosial.
“Saya maklum perkara itu kerana ketika bernaung bersama SRC dahulu memang banyak lebihan lagu yang saya rakam, tidak diterbitkan.
“Malah, pihak saya tidak pernah berbincang mengenai perancangan untuk lagu-lagu tersebut sepanjang tempoh bersama SRC sehinggalah ketika tidak lagi bernaung dibawah syarikat tersebut.
“SRC ibarat keluarga, jadi saya amat mengalu-alukan sekiranya pihak mereka mengajak berbincang mengenai perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Siti juga terbuka dan mengalu-alukan sekiranya pihak SRC menawarkan penyanyi lain untuk merakamkan semula lagu-lagu tersebut.
“Tentu sekali boleh kalau artis lain yang rakamkan. Saya tak ada halangan, tambahan pula lagu-lagu itu semua milik SRC,” kongsinya. – UTUSAN