KUALA LUMPUR: Sitaan sebanyak lebih RM487 juta direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan nilai tertinggi melibatkan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah sitaan berkenaan dicatatkan dari 1 Januari hingga 31 Mac lalu di bawah Akta SPRM 2009.
“Untuk kes bekas Perdana Menteri itu, kita telah sita sebanyak lebih kurang RM177 juta, yang telah saya tunjukkan dalam sidang akhbar baru-baru ini.
“Jumlah yang kita telah sita merupakan wang tunai dan juga termasuk emas berbentuk bar itulah yang termasuk dalam RM487 juta ini,”katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, di sini hari ini.
Azam berkata, nilai sitaan paling besar direkodkan adalah membabitkan kes siasatan Ismail Sabri iaitu RM177 juta.
“Itu jumlah yang paling besar sitaan kes,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah aset dan wang yang dibekukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah sebanyak RM548,978,525.
TambaH beliau, setakat ini, jumlah aset yang telah dilucut hak dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan di bawah ketiga-tiga akta berkaitan termasuk Akta Tatacara Jenayah adalah sebanyak RM603,363.29.
“Ini menunjukkan bahawa kami sedang giat berusaha untuk menyelesaikan kes-kes lain bagi tujuan pelucutan hak sama ada secara rasmi mahupun melalui penalti dan kompaun, di mana setakat ini jumlah penalti atau kompaun yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak RM412,000,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Azam berkata, sebanyak 319 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM sehingga 31 Mac lalu.
“Jumlah tangkapan yang dibuat adalah seramai 401 individu, manakala 146 individu telah dituduh di mahkamah.
“Sehubungan itu, SPRM berusaha dalam menyelesaikan kes dilakukan secara berterusan, bukan sahaja bagi tujuan pendakwaan, tetapi juga pemulihan aset,” katanya. – UTUSAN