PETALING JAYA: Insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini pada 1 April lalu membuktikan bahawa sistem pengangkutan tenaga bawah tanah di negara ini terdedah kepada pelbagai risiko yang memerlukan penilaian semula daripada aspek keselamatan dan pemantauan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah berkata, sistem saluran paip seperti itu berfungsi seumpama rangkaian jalan raya tetapi tertanam di bawah tanah, sekali gus menjadikannya lebih kompleks dan berisiko tinggi.
Katanya, insiden yang berlaku dipercayai memenuhi semua elemen fizikal dan kimia yang dikenal pasti dalam prinsip segi tiga api.
“Tiga unsur iaitu gas, oksigen dan percikan api boleh mencetuskan letupan jika wujud secara serentak walaupun berlaku kebocoran gas bersifat mikro yang sukar dikesan dengan sistem biasa.
“Letupan juga boleh berlaku jika terdapat aktiviti berhampiran yang menghasilkan haba seperti kerja kimpalan atau tekanan terhadap paip akibat pergerakan tanah, ditambah pula dengan zon selamat yang tidak dikawal rapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat tiga unsur yang boleh menyebabkan letupan pada saluran paip gas di Putra Heights.
Tambah Muhammad Zaly Shah, walaupun saluran paip kelihatan selamat di permukaan, risiko kerosakan dalaman tetap wujud terutama jika penyelenggaraan teknikal tidak dilakukan secara berkala. – UTUSAN