Sindiket curi 4x4 di Melaka lesapkan kenderaan dalam tiga minit

Sindiket curi 4×4 di Melaka lesapkan kenderaan dalam tiga minit

DZULKHAIRI Mukhtar dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sindiket curi kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) dikesan semakin berleluasa di negeri ini apabila berjaya melarikan sesebuah kenderaan dalam tempoh hanya tiga minit, sebelum dijual ke beberapa negara jiran pada harga serendah RM10,000 seunit.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mendedahkan, kecurian melibatkan kenderaan seperti Toyota Hilux, Toyota Fortuner dan Ford itu berlaku hampir setiap minggu, sejak awal tahun ini.

Katanya, sehingga kini sebanyak 15 buah kenderaan 4×4 dilaporkan hilang di seluruh negeri ini, dengan Melaka Tengah mencatat jumlah kes tertinggi.

Menurutnya, anggaran kerugian akibat kecurian itu mencecah hampir RM1.5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Dalam tempoh sebulan ini sahaja, hampir setiap minggu ada laporan kehilangan kenderaan jenis 4×4. Ini bukan kebetulan, ini kerja sindiket terancang.

“Kebanyakan kenderaan yang dicuri akan dibawa ke utara tanah air sebelum diseludup keluar melalui Thailand untuk dijual ke pasaran beberapa negara ketiga seperti Laos dan Kemboja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Tambah Dzulkhairi, kenderaan terbabit dipercayai menjadi buruan kerana permintaan tinggi di luar negara, terutamanya model keluaran Toyota dan Ford.

“Modus operandi mereka cukup pantas dan licik. Hanya ambil masa tiga minit untuk curi sebuah kereta. Mereka dipercayai menggunakan alat ‘jammer’ bagi mengelak sistem pengesanan sistem kedudukan global (GPS).

“Kecurian tidak hanya berlaku pada waktu malam, malah ada juga kes dilaporkan berlaku pada siang hari di tempat terbuka seperti parkir pusat beli-belah dan kawasan perumahan,” ujarnya.

Ujarnya, setakat ini, polis belum membuat sebarang tangkapan, namun siasatan rapi sedang dijalankan bagi menumpaskan sindiket terbabit.

Jelasnya, polis percaya sindiket terbabit mempunyai rangkaian luas termasuk ‘orang dalam’ yang membantu mengurus penyeludupan ke luar negara.

“Ada yang curi masa kereta berkunci elok. Mereka ini bukan sembarangan. Mereka akan perhati dan kaji dahulu pergerakan pemilik selama satu atau dua hari sebelum bertindak. Pasang alat keselamatan tambahan, letak kenderaan di tempat selamat dan jangan ambil mudah walaupun kereta sudah dikunci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya