KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa simpati terhadap mangsa tragedi letupan paip gas yang menggegarkan penduduk kawasan Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.
Siti Nurhaliza berkata, beliau mengikuti perkembangan kejadian itu dengan penuh perhatian meskipun tidak berkesempatan untuk hadir dan bertanya khabar secara langsung.
“Terkejut dan terkesan juga dengan apa yang berlaku. Saya ada beberapa kenalan di sana. Cuma belum sempat ke sana.
“Tak sangka boleh jadi sampai macam itu. Rakyat kita sangat prihatin dalam meringankan beban mangsa tragedi tersebut,” ujarnya.
Penyanyi nombor satu negara itu berkata demikian di Majlis Siti Nurhaliza 30th Anniversary di sini.
Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, Yayasan Nurjiwa mengambil maklum tentang tragedi berkenaan dan bakal merangka beberapa pelan bantuan selepas kembali bertugas esok.
“Kami komited untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban mangsa yang terkesan,” katanya.
Yayasan tersebut juga akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain termasuk NGO tempatan untuk menyalurkan bantuan.
Terdahulu, kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar dengan 85 rumah terkesan sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter (m) yang bermula sekitar pukul 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.-UTUSAN