PETALING JAYA: Pegawai penyiasat memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa terdapat elemen pengabaian ke atas kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin sepanjang siasatan dijalankan.
Perkara itu dimaklumkan Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd. Hafizee Ismail semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Katanya, pendapat itu selepas mengetahui Zayn Rayyan Abdul Matiin berjalan di belakang ibunya, Ismanira Abdul Manaf sebelum hilang pada hari yang sama.
“Hasil siasatan saya mendapati tertuduh kedua (Ismanira) bertindak berjalan di hadapan dan meninggalkan serta membiarkan si mati (Zayn Rayyan) berada di bahagian belakang.
“Tindakan tertuduh untuk berjalan di hadapan menyebabkan tertuduh tidak dapat melihat apa yang berlaku di belakang, dia seolah-olah membiarkan si mati tanpa pengawasan,” katanya.
Dalam pada itu, menjelaskan jawapan “tidak pasti” terhadap soalan “tiada saksi melihat tertuduh mengabaikan Zayn Rayyan” oleh peguam bela, Haresh Mahadevan, Mohd. Hafizee berkata, jawapan itu kerana beliau tidak mengetahui keterangan saksi di mahkamah.
Raja Zaizul Faridah: Semalam peguam ada tanya bahawa 27 saksi yang telah memberi keterangan di mahkamah, tiada seorang saksi pun lihat tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dan tertuduh kedua (Ismanira) atau mereka bersama-sama telah mengabaikan Zayn. Boleh jelaskan kenapa jawab “tidak pasti”?
Mohd. Hafizee: Saya menjawab tidak pasti sebab saya tidak tahu apa keterangan saksi-saksi yang diberitahu dalam mahkamah.
Dalam prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-28 itu memberitahu bahawa tiada seorang saksi melihat kedua tertuduh, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan, Mohd. Hafizee semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela, Haresh Mahadevan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu, pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil selain turut menawarkan seramai 23 orang saksi kepada pihak pembelaan.
“Kami tiada lagi saksi lain, dengan ini kami menutup kes pendakwaan. Pihak pendakwaan juga mempunyai beberapa orang saksi untuk ditawarkan kepada pihak pembelaan,” katanya.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin. – UTUSAN