KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah masih berjalan meskipun laporan forensik melibatkan sepuluh rakaman video tular belum diperolehi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes belum dimuktamadkan ketika ini.
“Saya jangkakan laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana pihak forensik sedang menjalankan penelitian secara terperinci terhadap kesemua 10 rakaman audio itu.
“Seperti yang saya maklumkan ketika sidang media di Sabah beberapa minggu lalu, lapan individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Ia termasuk satu kes baharu melibatkan tohmahan mengaitkan nama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya yang turut disiasat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre (WTC) di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Azam memohon semua pihak untuk bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Pada 10 April lalu, Azam memaklumkan 10 sepuluh video yang dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sedang dianalisis.
Beliau berkata, penelitian yang rapi perlu dilakukan sebagaimana lapan video yang disiarkan oleh sebuah portal sebelum ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan terhadap lapan ADUN terbabit dan seorang individu tetap diteruskan walaupun kesahihan video tersebut masih belum disahkan. – UTUSAN