Sewa inap desa RM200 sehari untuk simpan dadah

Sewa inap desa RM200 sehari untuk simpan dadah

MOHAMAD Lazim Ismail pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan satu sindiket pengedaran dadah menyewa sebuah inap desa untuk menyimpan dadah terbongkar selepas enam individu diberkas dalam empat serbuan di ibu negara pada Khamis lalu.

Operasi bermula pukul 3.40 sehingga 7.15 petang itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di lokasi yang  berasingan di sekitar Wangsa Maju, Sentul dan Cheras.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat orang lelaki dan seorang wanita warga tempatan diikuti seorang wanita Thailand.

Beliau berkata, tangkapan pertama melibatkan serbuan di tepi Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh dekat sini. 

“Rentetan tangkapan itu, kami (polis) membuat dua lagi serbuan melibatkan kondominium di sekitar Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Tun Razak di sini yang dipercayai digunakan sebagai stor tempat penyimpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan kami menemukan pelbagai dadah terdiri methamphetamine, ganja, kokain dan pil erimin 5 seberat 2,032.06 gram bernilai RM354,395,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 Mengulas lanjut, beliau berkata, inap desa berkenaan yang dijadikan stor penyimpanan dadah-dadah berkenaan telah disewa dengan kadar RM200 sehari.

Kata beliau, kesemua individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 26 tahun hingga 53 tahun itu berperanan sebagai pengedar dan juga penjaga stor.

“Dadah yang disimpan akan dibungkus semula sebelum dijual dengan harga RM300 sehingga RM300 satu gram.

“Kesemua jenis dadah tersebut, boleh dibekalkan kepada 5,613 orang penagih dan pasaran bahan terlarang itu adalah bagi sekitar kawasan Kuala Lumpur,” jelasnya.

Beliau menambah, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ganja.

“Empat daripada enam suspek yang ditahan juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah manakala dua lagi suspek tidak mempunyai apa-apa rekod lampau,” ujarnya.

Kesemua suspek telah dibenarkan reman selama empat hari bagi kes yang dibuka di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 bermula 11 April lalu.

“Kes yang disiasat dibuka di bawah Seksyen 39B ADB 1952. Pihak polis menasihati orang awam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya