TAPAH: Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Mohamad Yusri Baki, 54, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi UMNO dan BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Mohamad Yusri, 54, memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh BN Pusat dan Negeri
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Saarani Mohamad, seluruh kepimpinan dan UMNO Bahagian Tapah kerana memberi kepercayaan kepada saya bagi PRK DUN Ayer Kuning ini.
“Insya-Allah dengan kerjasama dan komitmen kita semua mampu membawa kejayaan yang besar demi meneruskan perancangan apa yang telah dibuat oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini,” kata Mohamad Yusri pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Dan Pengumuman Calon BN PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh di sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamad Yusri merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah dan merupakan anak tempatan Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN