GUA MUSANG: Kira-kira 600 keluarga Orang Asli di Kampung Tendrik, Pos Bihai di sini mendakwa, hampir setiap hari kawasan kebun mereka diceroboh gajah, sekali gus mengganggu kehidupan harian.
Dakwa mereka, masalah itu bertambah serius sejak dua bulan lalu dan jumlah kehadiran haiwan tersebut semakin parah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Apek Asud berkata, penduduk risau memikirkan nasib mereka apabila kawanan gajah merosakkan hasil tanaman yang menjadi sumber makanan keluarga.
“Hampir setiap hari kumpulan gajah liar ini masuk ke kebun penduduk dan merosakkan hasil tanaman. Kami buntu memikirkan nasib kami yang bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber makanan.
“Jika keadaan ini berterusan, kami bimbang sudah tiada hasil tanaman seperti pisang, ubi kayu dan padi bukit untuk dijadikan makanan keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Penduduk, Amat Pedik, 51, berharap penyelesaian jangka masa panjang dapat dilakukan bagi mengatasi konflik tersebut.
Katanya, masalah itu seolah-olah tiada penghujungnya walaupun sudah banyak laporan dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Gajah ini semakin membiak sehingga menjadi kawanan yang mencecah 10 ekor dan sangat membimbangkan penduduk.
“Kami berterima kasih apabila setiap kali berlaku serangan haiwan liar pihak Jakoa akan memberikan sumbangan bakul makanan, namun hanya bertahan untuk dua minggu,” katanya. – UTUSAN