'Seronok dapat sambut raya pertama kali di sekolah Rayyan'

Seronok dapat sambut raya pertama kali di sekolah Rayyan – Rita Rudaini

RITA Rudaini bersama kawan-kawan Rayyan ketika hadir sambutan Aidilfitri MRSM Sungai Besar, Selangor. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Pelakon Rita Rudaini menjadi tumpuan ketika hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri sekolah anaknya, Airit Rayyan Rizqin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sungai Besar, Selangor, semalam.

Rita yang pertama kali ‘turun’ pada program umum yang diadakan di sekolah anak sulungnya itu kelihatan tidak menang tangan melayan ibu bapa dan keluarga yang hadir pada majlis itu.

Pemenang Anugerah Aktres Pembantu TV Popular itu berkata, beliau seronok dapat menyantuni kawan-kawan kepada Rayyan dan berpeluang mengenali ibu bapa yang selama ini hanya dapat berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

“Saya hadir di MRSM Sungai Besar pertama kali bersama keluarga pelajar-pelajar di sini. Rasa seronok sangat dapat jumpa ibu bapa yang selama ini bercakap dalam Whatsapp sahaja.

“Jadi hari ini semua dapat kenal termasuk kawan-kawan Rayyan terutama kumpulan Tingkatan Empat selepas Rayyan masuk sekolah ini ketika Tingkatan Dua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Rita hadir bersama seorang lagi anaknya, Airit Qaqa Arjuna, 14, kelihatan anggun apabila mengenakan baju kurung Pahang dan bertudung bawal polos merah jambu.

RITA Rudaini bersama anaknya, Airit Rayyan Rizqin (kiri) dan Airit Qaqa Arjuna.

Beliau sempat meluangkan masa lebih dua jam dan mahu pihak sekolah dapat mengadakan lebih banyak program terbuka bersama ibu bapa sebegini.

“Tak sampai dua tahun lagi Rayyan sekolah di sini. Tahun depan dia sudah Tingkatan Lima, tak lama lagi akan tamat persekolahan.

“Jadi kita harap sekolah dapat buat lagi program seperti ini agar dapat meningkatkan ‘bonding’ dan satu bentuk sokongan antara ibu bapa dan pihak sekolah demi kecemerlangan anak-anak,” katanya.

Rita sering berkongsi perjalanan hidupnya membesarkan dua anaknya itu selepas 15 tahun bergelar ibu tunggal dan turut menjadi inspirasi wanita atas kecekalannya yang mampu memberi didikan sempurna baik akademik, agama dan sukan. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN