Seniwati Noor Azizah meninggal dunia - Utusan Malaysia

Seniwati Noor Azizah meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seniwati, Noor Azizah Azizul Hassan yang pernah membintangi filem Enam Jahanam di bawah arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disahkan telah meninggal dunia awal pagi tadi.

Difahamkan,punca kematian disebabkan Allahyarham mengalami kesesakan nafas sebelum meninggal dunia pada pukul 3 pagi tadi di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh, Perak.

Menurut wartawan hiburan veteran, Muzlina Abu Bakar, berita pemergian pelakon veteran itu disahkan oleh anak Allahyarham Noor Azizah iaitu Khairena kepadanya.

Turut difahamkan, ibu kepada dua cahaya mata itu menghidap penyakit buah pinggang dan kini menjalani rawatan dialisis.

Jenazah Allahyarham Noor Azizah dijangka akan dikebumikan selepas Zohor di Ipoh.

Dilahirkan di Kinta, Perak, Allahyarham Noor Azizah memulakan kerjaya seninya pada 1965 menerusi filem Dayang Senandong sebagai pelakon tambahan.

Ketika itu, bapanya yang juga pegawai kanan polis bertugas di Singapura dan memberikan peluang kepadanya untuk mencuba nasib sebagai bintang filem.

Pembabitan Noor Azizah dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.

Semasa kunjungan, kejelitaan Noor Azizah mendapat perhatian Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem Dayang Senandong.

Sebaik selesai penggambaran filem Dayang Senandong, Noor Azizah ditawarkan membintangi filem Sri Andalas, A Go Go 67 dan terakhir, Raja Bersiong sebelum berpindah ke Kuala Lumpur.

Nama Noor Azizah mula mencipta kemasyhuran apabila membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee pada 1969.

Di Merdeka Studio, beliau mencipta kemasyhuran sebagai bintang filem apabila sering digandingkan dengan Allahyarham Seniman Ed Osmera.

Antara filem lakonannya termasuklah Jangan Tinggal Daku, Kembang Layu, Durjana, Di Belakang Tabir, Perintah Sri Paduka, Kalau Berpaut Di Dahan Rapuh, Sayang Anakku Sayang, Cinta dan Lagu serta Pendekar.

Noor Azizah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal, Rano Karno dan Jangan Kau Tangiskan.

Beliau juga pernah membintangi drama bersiri, Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.

Enam Jahanam diterbitkan pada sekitar 1969. Penglibatan Allahyarham dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika beliau melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.

Semasa kunjungan itu, kejelitaan Allahyarham Noor Azizah mendapat perhatian seniman Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud yang menawarkannya membintangi filem ‘Dayang Senandong ‘ pada tahun 1965 sebagai pelakon tambahan.

Allahyarham Noor Azizah juga pernah ditawar berlakon dalam filem terbitan negara jiran, Indonesia sebagai pelakon utama dalam filem ‘Malin Kundang’ pada tahun 1971 bersama aktor negara itu, Rano Karno.

Bahkan, Allahyarham juga pernah memegang watak Doktor Susan Lim dalam produksi Australia drama bersiri terkenal, iaitu ”Bailey Bird’ pada 1977.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN