KUALA LUMPUR: Penerbitan serta pameran karya seni, sastera dan budaya hasil nukilan tokoh besar wajar dipertingkat bagi memperkasa bidang tersebut sekali gus membina ketamadunan bangsa sebagai rujukan generasi masa hadapan.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu melaksanakan inisiatif tambahan menerusi Balai Seni Negara, Perpustakaan Negara serta Arkib Negara bagi mempromosikan karya berkenaan kepada khalayak umum.
Katanya, langkah itu penting supaya hasil seni dan pemikiran tokoh seperti Allahyarham Ismail Zain dapat didedahkan kepada masyarakat secara lebih meluas.
“Sementara kita tahu subjek Matematik, Sains serta penguasaan bahasa itu penting, ini turut memberi pengajaran bahawa dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi, kita tidak boleh meminggirkan seni, budaya dan sastera.
“Mudah-mudahan usaha kita untuk memperkenalkan tokoh-tokoh besar dalam dunia seni dapat diperkasa dan hari ini melalui tokoh seperti Ismail Zain, kita boleh mengambil beberapa langkah tambahan menerusi Balai Seni Negara, Perpustakaan Negara dan juga Arkib Negara.
“Ini Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing boleh fikirkan kerana dia jaga lebih banyak pelancongan. Saya cuma kena ingatkan bahawa pelancongan juga ada seni, sastera dan budaya. Jadi, selepas ini, ucapan Tiong di mana-mana acara perlu ada satu bait daripada puisi Pak Samad Said (Sasterawan Negara),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writing on Art and Aesthetics di Balai Seni Negara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembangunan seni dalam negara perlu bergerak seiring dengan semangat dan falsafah Negara Madani yang menekankan ihsan, daya cipta serta nilai kemanusiaan sejagat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak cukup untuk membina ketamadunan sekiranya seni dan budaya dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.
“Pemerkasaan ekonomi itu tidak memadai tanpa pemerkasaan seni dan budaya kerana yang menentukan keutuhan sesebuah negara bukan sahaja politik dan ekonomi, tetapi juga seni dan budayanya.
“Di kala kita ghairah dengan pemusatan ekonomi, kita lupa bahawa pembangunan tamadun itu akan tempang tanpa usaha gigih memperkasa seni dan budaya.
“Sebab itu saya percaya negara bersama Kementerian, peranan Sasterawan, Seniman dan Balai Seni Lukis serta pusat-pusat seperti ini harus memikirkan langkah baharu bagi memastikan hasil dan karya ini sampai kepada rakyat biasa,” katanya. – UTUSAN