Suasana Dewan Bitara Sekolah Kebangsaan (SK) Pendok, Jeli Kelantan pagi ini bergema dengan tawa ceria dan wajah-wajah berseri sempena Sambutan Semarak Kasih Syawal peringkat sekolah tahun 2025, yang diadakan dengan penuh semangat dan kemeriahan.
Majlis yang berlangsung dari pukul 7.40 pagi hingga pukul 1.10 petang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum melalui Jawatankuasa Perayaan dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pendok.
Program tahunan ini merupakan salah satu inisiatif penting sekolah dalam menyemai nilai-nilai murni serta menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan warga sekolah.
Menurut Guru Besar SK Pendok, Puan Wan Senah binti Abdullah, program ini bukan sekadar menyambut Aidilfitri, malah turut membawa mesej perpaduan dan hormat-menghormati dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.
“Kita ingin membentuk generasi pelajar yang memahami erti tolak ansur, kasih sayang, dan hidup dalam harmoni tanpa mengira latar belakang. Semarak Kasih Syawal ini menjadi platform yang tepat untuk memupuk nilai-nilai itu,” katanya.
Timbalan Pengerusi II program, Mazraihan Hilmi yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) menekankan bahawa program seperti itu mampu membina jati diri murid.- UTUSAN