PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan semakan Kerajaan Negeri Perlis untuk mengembalikan status agama tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong sebagai Islam.
Ia selepas panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim dan bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan bahawa permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.
“Ini adalah keputusan sebulat suara. Kami mendapati tiada sebarang merit dalam permohonan semakan yang difailkan. Permohonan semakan ini gagal memenuhi gagal melepasi ambang (threshold) yang diperuntukan dalam Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Sehubungan itu permohonan ini ditolak tanpa sebarang perintah berhubung kos,” kata Hakim Hasnah.
Pada 30 Oktober 2024, kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.
Dalam permohonan semakan itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan sebelum ini telah menjejaskan hak pihak itu untuk didengar dan memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.
Pada 10 Januari 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama anak-anak Siew Hong kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu. Keputusan itu sekaligus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2023 yang sebelum ini menolak semakan kehakiman Siew Hong untuk membatalkan penukaran agama anaknya.
Ibu tunggal berusia 37 tahun itu memfailkan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan mendakwa bekas suaminya, M. Nagahswaran yang memeluk Islam, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.
Menurut permohonan itu, wanita berkenaan antara lain memohon supaya anak-anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.
Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Siew Hong pada 21 Februari 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya. – UTUSAN