Selebriti tempatan diminta bantu suarakan kekejaman Israel

Selebriti tempatan diminta bantu suarakan kekejaman Israel

SAIFUL APEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan selebriti dan artis tanah air diminta lebih berani menyatakan pendirian dalam isu kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek berkata, pengaruh besar yang dimiliki artis seharusnya dimanfaatkan untuk menyebarkan kesedaran serta menyeru masyarakat bersolidariti terhadap perjuangan rakyat Gaza.

Katanya, perjuangan tidak semestinya tertumpu kepada kehadiran fizikal di lapangan, sebaliknya boleh disalurkan melalui platform yang dimiliki seperti media sosial. 

“Setiap kenyataan yang dikeluarkan artis memberi impak besar kepada pengikut mereka. Sebab itu saya harap lebih ramai selebriti tampil bersuara, bukan hanya terbabit dalam dunia hiburan semata-mata,” katanya ketika ditemui dalam perhimpunan aman di ibu negara, semalam.

Saiful berkata, terdapat artis yang hadir ke perarakan solidariti tetapi memilih untuk tidak mendedahkan identiti kerana bimbang perhatian masyarakat beralih kepada populariti individu berbanding matlamat utama.

“Walaupun tidak tampil secara terbuka, mereka masih boleh menyatakan sokongan di media sosial. Buat video, tulis kenyataan, seru orang ramai untuk boikot produk berkaitan Zionis dan bantu NGO yang memperjuangkan hak rakyat Palestin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada artis yang terikat dengan kontrak bersama syarikat yang menyokong rejim Israel untuk mengambil pendirian sewajarnya.

“Mungkin mereka rasa serba salah. Tapi saya percaya, bila kontrak tamat, mereka tidak akan sambung lagi.  Kalau selepas itu masih teruskan juga, barulah boleh dipersoalkan,” katanya.

Tambah beliau, kempen memboikot barangan yang menyokong Israel bukan hanya tanggungjawab artis, sebaliknya perlu disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kadang-kadang kita tak sedar, tapi bila tanya balik diri kita… bila berdepan dengan Allah nanti, apa jawapan kita? Saya harap kita semua dijentik hati oleh Allah untuk peka dan bersama dalam perjuangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya