Sekolah terjejas ribut di Perak Tengah dibaiki segera - Utusan Malaysia

Sekolah terjejas ribut di Perak Tengah dibaiki segera

KHAIRUDIN Abu Hanipah (kiri) meninjau sekolah terjejas akibat ribut di daerah Perak Tengah baru-baru ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pembaikan sekolah-sekolah yang terjejas akibat ribut di daerah Perak Tengah akan dilaksanakan segera bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah terlibat tidak terganggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, bagi tujuan itu, pihak sekolah perlu menyediakan laporan penuh berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dipanjangkan kepada Pejabat Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM.

Katanya, laporan tersebut melibatkan perincian pada hari pertama, ketiga dan ketujuh selepas kejadian ribut itu berlaku.

“Kita telah menjemput pihak teknikal dari Unit Pembangunan Jabatan Pendidikan daerah dan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian kerosakan yang berlaku.

“Anggaran kerosakan dan pembaikan ini akan dihantar ke KPM untuk tindakan susulan khususnya bagi tujuan baik pulih.

“Kita harap proses untuk baik pulih ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada para pelajar yang akan belajar di situ,” katanya ketika ditemui dalam majlis Jamuan Aidilfitri Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah di sini hari ini.

Menurut Khairudin, beliau telah mengadakan lawatan di beberapa sekolah yang terjejas Isnin lalu dan mendapati kebanyakan kerosakan membabitkan bumbung diterbangkan angin dan tingkap rosak.

Katanya, antara sekolah yang mengalami kerosakan serius ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak dan Sk Dato Sagor.

“Semasa lawatan itu, saya diiringi pengarah pendidikan negeri untuk sama-sama melihat pelan kontigensi untuk membantu pihak sekolah. Beliau juga bersungguh-sungguh untuk memastikan kerja-kerja pembaikan dan kos dapat disegerakan untuk diangkat dalam bantuan kecemasan bagi kejadian bencana,” katanya.

Tambah beliau, kejadian ribut itu bagaimanapun tidak menjelaskan sesi pembelajaran dan pengajaran pelajar kerana pihak sekolah telah mengambil langkah penyuraian dengan menempatkan mereka di bilik-bilik tertentu.

“Bagi sekolah yang paling teruk terjejas iaitu SMK Sultan Abdul Jalil, mereka gunakan bilik tingkatan enam untuk dijadikan bilik sementara bagi kelas tingkatan satu, dua dan tiga.

“Jadi, tidak timbul pelajar tidak boleh belajar kerana proses pembelajaran berjalan seperti biasa. Pihak sekolah juga memberi kaunseling dan bimbingan kepada pelajar supaya mereka tidak merasa tertinggal dan hilang semangat untuk belajar,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebanyak 50 rumah rosak akibat ribut berserta hujan lebat di daerah Perak Tengah.

Kejadian antara pukul 4.30 hingga 6.30 petang itu membabitkan enam kampung iaitu Kampung Seberang Perak, Kampung Pasir Jenderis, Kampung Kepala Pulau, Kampung Pulau Besar, Kampung Gajah dan Kampung Pasir Salak.

Kejadian sama dengan beberapa insiden pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Larut Matang dan Selama dan di Sungai Manik di Hilir Perak. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya