MELAKA: Sekolah aliran agama di Melaka mencatatkan pencapaian cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada 18 buah sekolah di Melaka yang mencatatkan keputusan 100 peratus layak menerima sijil, 10 daripadanya adalah sekolah aliran agama.
Menurutnya, ia sekaligus menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan prestasi negeri itu secara keseluruhan.
“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan membuktikan sekolah agama tidak lagi dilihat ketinggalan, malah mampu bersaing dan mengatasi sekolah aliran lain dalam akademik.
“Antara sekolah agama yang tersenarai sebagai sekolah cemerlang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, SMKA Sultan Muhammad, Sekolah Menengah Agama JAIM Al Ahmadi, SMA JAIM Al-Asyraf, SM Agama Al-Ehya Al-Karim dan SM Arab JAIM Darul Falah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM Negeri Melaka di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Menurut Rahmad, keputusan keseluruhan menunjukkan Negeri Melaka mencatat Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.43 berbanding 4.59 pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 0.16 mata sekaligus pencapaian terbaik sejak tahun 2013.
“Sebanyak 13,311 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di negeri ini, meningkat berbanding 12,900 calon pada tahun sebelumnya dan seramai 414 calon memperoleh semua A dan 16 pelajar memperoleh A+ bagi semua mata Pelajaran.
“Peningkatan prestasi turut dicatat oleh sekolah luar bandar, dengan enam buah sekolah menunjukkan peningkatan signifikan, manakala daerah Jasin mencatat peningkatan GPN tertinggi dengan 4.10, diikuti Melaka Tengah (4.38) dan Alor Gajah (4.82).
“Usaha ini bukan datang sekelip mata, ia adalah hasil kerjasama berterusan sekolah, NGO dan kerajaan negeri yang sentiasa memberikan sumbangan serta inisiatif memperkukuhkan sistem pendidikan termasuk sekolah agama,” katanya. – UTUSAN