PETALING JAYA: Kecederaan yang terdapat pada tubuh Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak konsisten dengan lokasi mayat ditemui.
Menurut Pakar Perunding Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Dr. Rohayu Shahar Adnan, sekiranya kanak-kanak itu lemas, tidak sepatutnya wujud trauma (kesan kecederaan) akibat objek tumpul atau tajam.
“Daripada segi perubatan forensik, lemas adalah diagnosis of exclusion (diagnosis pengecualian). Apabila kita diagnosis lemas maka pada jasad si mati tidak (sepatutnya) ada trauma tumpul atau tajam.
“Sekiranya terdapat trauma, ia mestilah di bahagian utama dan tidak boleh ada kesan jerutan di leher.
“Mati lemas di dalam air tidak boleh ada kecederaan lain yang mematikan atau penyakit-penyakit dalaman yang mematikan. Ia perlu akibat lemas semata-mata seperti paru-paru akan kembang dan memenuhi rongga toraks (bahagian dalam dada),” kata pakar patologi itu yang sebelum ini bertugas di Hospital Sungai Buloh.
Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Terdahulu, Dr. Rohayu itu menyatakan, beliau dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa Zayn Rayyan adalah autistik dan mati lemas ketika pembentangan sejarah kes sebelum bedah siasat dijalankan pada 7 Disember 2023.
Kematian Zayn Rayyan juga ketika tiba di Hospital Sungai Buloh turut dikategorikan sebagai mati biasa.
“Jadi apabila kes dibentangkan, pegawai perubatan saya memberitahu bahawa si mati adalah kanak-kanak autistik. Secara saintifik, kanak-kanak autistik mempunyai kesukaan tertentu.
“Apabila pegawai perubatan saya memberitahu kanak-kanak itu mati lemas, jadi saya tanya adakah kanak-kanak ini jenis suka air dan apa kesukaan dia,” ujar saksi itu.
Kegagalan pegawai perubatan itu untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh Dr. Rohayu itu juga telah menimbulkan kecurigaan pada pakar patologi itu.
“Jadi apabila tidak dapat dijawab, saya menyuruh pegawai perubatan menghubungi pihak polis untuk (saya) pergi ke tempat kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, selepas melawat lokasi kejadian (aliran anak sungai), kecederaan yang ditemukan pada badan mayat kanak-kanak tersebut didapati tidak konsisten. – UTUSAN