PONTIAN: Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Jalan Pusara, Kampung Sungai Chengkeh, Serkat, dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut mangsa, Aminah Ahmad, 84, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika dia dan dua anaknya, Anuar Mohd. Nor, 47 dan Mohd. Nizam, 43, sedang tidur.
“Mujur Mohd. Nizam yang menghidapi masalah kesihatan mental terjaga dan segera kejutkan kami apabila lihat api dari bahagian dapur.
“Saya terus menjerit dan minta Anuar serta menantu dan tiga cucu keluar dari rumah apabila api makin besar untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui, di sini.
Aminah memberitahu, turut hangus wang simpanan sebanyak RM6,000, barang kemas termasuk empat bentuk cincin, dua utas rantai dan seutas gelang tangan yang dianggarkan bernilai RM30,000.
\
Katanya, kebakaran turut memusnahkan empat buah motosikal dan perabot rumah serta peti sejuk yang baru dibeli.
“Turut tidak dapat diselamatkan dokumen penting seperti kad pengenalan” katanya.
Anuar pula memberitahu, dia baru sahaja menggantikan atap zink di bahagian dapur rumah serta membina anjung baharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu dengan belanja kira-kira RM30,000.
“Walaupun masih terkejut dengan kejadian ini, namun bersyukur semua ahli keluarga selamat, begitu juga dengan keluarga abang saya, Zaharuddin yang berada di sebelah rumah,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.27 pagi dan berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 5.10 pagi.-UTUSAN